Exclusively By Izzah Johan

Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan?


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”



Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?

(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.

(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.

(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.

(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.

(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.

(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).

(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian – kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.

(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.

(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.

(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.

MasyaAllah Tabarakallah– inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketaqwaan.
  


0 comments:

Post a Comment